Thursday, 31 May 2012

Ibadat mudah yang di ambil mudah(Siri Dua)

Assalamualaikum...untuk membaca mengenai ibadah umrah siri pertama, sila klik (Ibadah Umrah Siri Satu)

Umrah : Ihram (Rukun Pertama) – Siri ke 2

Sebelum kita pergi lebih lanjut berkenaan dengan rukun umrah yang pertama, elok juga kita melihat faktor-faktor yang menyebabkan ibadat kita ini diterima oleh Allah swt. Menurut Shiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi, Qadhi Iyadh ada menyebut bahawa pra-syarat sesuatu ibadat itu diterima ada dua perkara :

أولهما: الإخلاص وتصحيح النية.
وثانيهما: موافقة السنة ومنهاج الشرع.
“Pertamanya :  ikhlas dan membersihkan niat,
Keduanya : dilakukan sejajar dengan al-Sunnah dan peraturan syara”



Niat adalah kepala segala amal ibadat dan hendaklah dilakukan ibadat dengan ikhlas, iaitu melakukan sesuatu ibadat itu kerana Allah swt, dan bukan kerana sebab-sebab yang lain. Tidak boleh riya’ dalam melakukan ibadat. Keduanya, amal ibadat itu sendiri, hendaklah dilakukan mengikut apa yang telah diajarkan oleh Nabi Muhammad :saw, dan bukannya berdasarkan ikut-ikutan semata-mata. Maka apabila kedua-dua syarat ini di patuhi, maka InSyaAllah, akan diterima ibadat seseorang itu.

IHRAM

Ini merupakan rukun pertama Umrah. Ihram bermaksud,( الإحرام هو نية الدخول في النسك –الحج أو العمرة-) mempunyai niat semasa bermula dalam ibadat Haji atau Umrah. Seseorang itu digelar Muhrim apabila dikatakan telah masuk Ihram. Ada beberapa perkara yang dia perlu lakukan :-

1. Mandi, sebagaimana mandi Janabah (wajib).  Adalah sunat untuk mandi termasuklah wanita yang haidh atau nifas. Nabi :saw pernah memerintahkan Asma’ bt ‘Umays semasa beliau didalam keadaan nifas agar mandi apabila masuk ihram, membalut kemaluannya dan masuk ihram [Hadith riwayat Muslim].

2. Memakai bau-bauan yang wangi, samada di kepala, janggut atau di mana-mana. Tidak kira kesan-kesan minyak wangi itu wujud semasa anda berada di dalam ihram atau tidak. A’isyah ra. meriwayatkan bahawa :

كان النبي صلى الله عليه وسلم إذا أراد أن يحرم تطيب بأطيب ما يجد ، ثم أرى وبيص المسك في رأسه ولحيته بعد ذلك
“Apabila Nabi :saw ingin masuk ihram, baginda akan memakai minyak wangi dengan minyak wangi yang terbaik yang beliau jumpa, kemudian aku dapat melihat kesan kilat-kilauan akibat minyak wangi di kepala dan janggutnya selepas itu”[Hadith sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim.

3. Hendaklah sesudah itu memakai pakaian ihram.

4. NIAT Ihram di MIQAT - Apabila sampai di tempat Miqat, maka hendaklah dia berniat Ihram Umrah sekurang-kurangnya dengan lafaz :

لبيك اللهم بعمرة
“Labbayk Allaahumma bi ‘Umrah”
Maksudnya “Di sini kami Ya Allah, untuk Umrah”

Setelah berniat ihram di miqat, seseorang Muhrim hendaklah mematuhi 13 perkara yang dilarang semasa di dalam ihram.


Had Niat – tuntutan niat akan terbatal apabila bermulanya tawaf. Maka terbatallah Umrah seseorang yang tidak berniat langsung. Bagi mereka yang berniat selepas melalui kawasan Miqat, dia dikehendaki membayar Dam, merupakan satu ekor kambing.




5. Memperbanyakkan bacaan Talbiyah. Di antara bacaannya :-

لبيك اللهم لبيك ، لبيك لا شريك لك لبيك ، إن الحمد والنعمة لك والملك لا شريك لك
“Labbayka Allaahumma labbayk, labbayka laa shareeka laka labbayk. Inna al-hamd wa’l-ni’mata laka wa’l-mulk, laa shareeka lak”

Nabi Muhammad :saw pernah memasukkan bacaan ini :

لبيك إله الحق
“Labbayka ilaah al-haqq (Di sini kami Ya Allah, Tuhan kebenaran).”

Talbiyah ini walaupun hukumnya sunat, akan tetapi ia sangat-sangat digalakkan. Bagi kaum lelaki, digalakkan membaca talbiyah dengan suara yang kuat. Nabi :saw bersabda :

أتاني جبريل فأمرني أن آمر أصحابي ومن معي أن يرفعوا أصواتهم بالتلبية
“Malaikat Jibrail as. telah datang kepadaku dan memberitahuku untuk memberitahu sahabat-sahabat dan mereka yang bersamaku agar meninggikan suara ketika membaca talbiyah” [hadith Riwayat Abu Daud].

Kaum wanita pula tidak digalakkan meninggikan suara ketika membaca talbiyah. Talbiah digalakkan lebih-lebih lagi apabila berlakunya perubahan keadaan, misalnya dari Asar ke Maghrib, dari tempat tinggi ke tempat rendah, dsb.

Tempoh Talbiyah – bermula selepas niat Ihram Umrah, dan tamat ketika memulakan tawaf.
-------------------

Beberapa persoalan mengenai niat Ihram

1.  Wanita yang uzur (haidh) boleh berniat ihram umrah di Miqat

2.  Bagi mereka yang khuatir akan menghadapi kesukaran, seperti sakit, datang bulan (haidh), dsb, maka mereka dibolehkan melakukan niat bersyarat, dan bacaanya seperti :-

إن حبسني حابس فمحلي حيث حبستني
“Jika aku terhalang, maka aku keluar ihram di tempat mana aku terhalang”

Fatwa Muzakarah Haji Kebangsaan kali ke 26 pada 4 – 7 Mac 2010 ada membincangkan isu niat ihram bersyarat bagi jemaah haji/umrah wanita:

“Yang Dibolehkan:

1. Dalam keadaan tidak berhaid dia berniat ihram dengan menyertakan syarat; “Sekiranya aku kedatangan haid dan haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.”

2.Dalam keadaan berhaid dia berniat ihram dengan menyertakan syarat; “Jika haidhku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.”

Yang Tidak Dibolehkan:

Dalam keadaan tidak berhaid dia berniat ihram kemudian ketika didatangi haid dia berkata; “Jika haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.”

Niat ihram bersyarat ini hendaklah dilakukan dengan penuh berhati-hati. Misalnya, seorang wanita yang melakukan ihram bersyarat, tiba2 datang haidh, maka dia pun terus bertahalul atau keluar dari ihram, sedangkan masa untuk pulang belum sampai lagi.

-------------------------------

Wajib Umrah

 Wajib Umrah ialah perkara-perkara yang mesti dilaksanakan oleh jemaah umrah, sekiranya ditinggalkan, ibadah umrah tersebut MASIH SAH akan tetapi dikenakan bayaran DAM. Meninggalkan wajib Umrah dengan sengaja adalah berdosa dan dikenakan Dam. Jika ditinggalkan dalam keadaan tidak sengaja, hukumnya tidak berdosa tetapi masih dikenakan Dam. Berikut ialah perkara-perkara Wajib Umrah:

1. Berniat umrah di Miqat (sempadan) yang ditetapkan ataupun sebelumnya.
2. Menjaga 13 larangan ihram.

Miqat Makani (sempadan tempat) adalah tempat yang ditetapkan bagi seseorang yang hendak mengerjakan umrah berniat (lafaz niat). Niat boleh dilafazkan pada mana-mana tempat sebelum sampai ke Miqat ini. Tetapi jika sudah melampaui Miqat ini, niat umrah masih boleh dilafazkan tetapi Dam berupa seekor kambing dikenakan.
----------------------------

Mawaaqeet (المواقيت)(Miqat2 atau sempadan2 tempat)

Berikut adalah Miqat2nya (tidak termasuk miqat orang Mekah,  Tanaem, Jira’nah atau Hudaibiyah) :-

a. Qarnul Manaazil (ﻗﺮﻦﺍﻠﻣﻨﺎﺯﻝ)- Lebih kurang 90km dari Makkah atau lebih kurang setengah jam perjalanan sebelum pesawat mendarat di Jeddah. Miqat ini adalah untuk jemaah yang terus ke Mekah setelah mendarat di Jeddah.

b. Bi’r Ali (dikenali sebagai Zulhulaifah - ﺫﻭﺍﻟﺣﻠﻴﻔﻪ) - Lebih kurang 10km dari Bandar Madinah atau lebih kurang 450 km dari Mekah. Miqat ini adalah untuk jemaah yang terus ke Madinah dan dari sana berniat ihram sebelum bergerak  menuju Mekah. Ia juga menjadi Miqat untuk penduduk bandar Madinah itu sendiri.

c. Al-Juhfah (جحفة)- Lebih kurang 187km dari Mekah . Ia menjadi miqat untuk  penduduk Syria, Mesir dan negara-negara lain dari arah yang sama.

d. Zaatu ‘Irqin (ﺫﺍﺕ ﻋﺮﻕ)- Lebih kurang 94 km dari Mekah. Miqat bagi penduduk Iraq.

e. Yalamlam (ﻳﻠﻣﻠﻢ)– lebih kurang 50km dari tenggara Mekah. Ia adalah miqat penduduk Yaman


Miqat ini adalah untuk penduduk yang datang dari sana atau sesiapa yang datang ke Mekah melaluinya. Misal kata, pelancung yang datang dari arah Yaman yang ingin menunaikan umrah, wajib berniat ihram apabila sampai di Yalamlam. Jika dia melepasi Yalamlam dan terus ke Mekah, lalu berniat di Mekah maka dia dikenakan dam.

Permasalahan penting mengenai Miqat

Terdapat di kalangan orang Islam yang pergi ke Mekah setelah selesai urusan perniagaan di Jeddah misalnya, memakai pakaian ihram, berniat umrah dan terus ke kota Mekah melakukan tawaf, saie dan bertahalul. Orang tersebut dikenakan dam kerana, Jeddah bukannya tempat Miqat, melainkan bagi penduduk Jeddah sahaja. Bagi mereka yang terbang dari Abu Dhabi atau Dubai, maka mereka akan berpakaian ihram dan berniat umrah apabila pesawat melalui Qarnul Manaazil.

Telah dinyatakan oleh Rumah Fatwa Kuwait [al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (22/140)] :- “Jika seseorang melepasi Miqat tanpa masuk ihram, maka dia hendaklah pergi balik (ke miqat) dan masuk ihram (berniat) dari sana jika dia boleh. Jika dia pergi balik (ke miqat) dan masuk ihram (niat umrah) dari sana, dia tidak perlu menawarkan menyembelihan (dam ihsar), menurut kesepakatan ulama’, kerana dia telah masuk ihram dari Miqat di mana dia wajib melakukannya.

Akan tetapi jika dia melepasi Miqat dan telah masuk ihram (niat umrah) kemudiannya, dia hendaklah melakukan penyembelihan (kena dam), samada dia kembali ke Miqat sekali lagi atau pun tidak. Ini merupakan pandangan mazhab Maliki dan Hanbali”

Namum demikian, jika seseorang itu memang tidak berniat langsung berniat untuk menunaikan umrah semasa berada di Jeddah, akan tetapi pesawatnya ‘delay’ 2 hari, kemudian dia masuk ihram dari Jeddah, maka Umrah tersebut sah tanpa perlu membayar dam. [lihat - Fataawa al-Lajnah al-Daa’imah li al-Buhooth al-‘Ilmiyyah wa al-Ifta (11/150, 151).]

Kesimpulan

Ihram atau berniat Umrah merupakan rukun Umrah. Tanpa rukun tersebut, ibadat Umrah tidak sah. Niat umrah wajib dilakukan di tempat-tempat yang ditentukan yang dipanggil Miqat. Tidak berniat di miqat akan menyebabkan seseorang itu wajib membayar dam. Barangsiapa yang ingin menunaikan Umrah setelah berada di Jeddah, hendaklah dia pergi ke tempat-tempat Miqat tersebut dan ‘masuk ihram’ dari tempat tersebut. Sebelum masuk ihram, seseorang itu disunatkan mengemaskan rambut, mencukur misai, mencantikkan janggut, memakai minyak wangi dan mandi sunat. Hendaklah dia memakai pakaian Ihram yang tidak bertentangan larangan ihram dan berniat ihram di Miqat. Bagi mereka yang benar-benar uzur dan ditakuti datang bulan sebelum sempat menyempurnakan umrah, maka bolehlah dia melakukan Niat Ihram Bersyarat. Ulama’ menasihatkan agar ihram bersyarat ini hanya dilakukan apabila benar-penar perlu sahaja. Disunatkan membaca talbiah dengan kuat dari kalangan kaum lelaki selepas masuk ihram dan berhenti bertalbiah sebelum melakukan tawaf. Wallahu ‘alam.



Sekian, wassalam
Surau Ibn Qurra'(Heitech Padu Berhad)  dan Al-Ahkam.net  (www.al-ahkam.net/home)

Rujukan :-

1. Fataawa al-Lajnah al-Daa’imah li al-Buhooth al-‘Ilmiyyah wa al-Ifta – 11. KSA, 2001

2. Mausu’ah al-Fiqhiyyah – 22. Dar al-ifta’, Kuwait.

3. Fatwa Muzakarah Haji Kebangsaan kali ke 26 pada 4 – 7 Mac 2010. Tabung Haji.

4. Dr Yusuf al-Qaradhawi.  Al-Niyyah wa al-ikhlas. Kaherah : Maktabah Wahbah.

5. Laman jawhar. Rukun Umrah. http://www.jawhar.gov.my/i-umrah/index.php/persediaan-para-jemaah/50-rukun-umrah
Recommended Post Slide Out For Blogger
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...