Usah sia-sia nyawa dengan bunuh diri

KENAPA ramai yang sanggup membunuh diri? Tidak takut atau sakit ke? Tidak ingat dosa dan pahala ke?
Jika bunuh diri, adakah selesai masalah? Di kubur, selamat ke? Tidak ada ke kehidupan selepas bunuh diri?

Peliknya perbuatan itu dilakukan orang Islam yang percaya kepada kehidupan akhirat. Ada hisab, mizan sirat dan ada syurga serta neraka. Tetapi kenapa mereka mengikut bisikan nafsu jahat dan syaitan iblis yang memang mencari teman buat menemaninya bertempik melolong dalam neraka nanti?

Larangan membunuh diri sememangnya termuat dalam al-Quran dan hadis.




Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama-suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu. (Surah An-Nisaa’ ayat 29).

Maksudnya: “Di datangkan kepada Nabi, jenazah seorang lelaki yang membunuh diri dengan anak panah, lalu baginda tidak menyembahyangkan untuknya.” (Muslim).

Imam al-Nawawi di dalam syarah Sahih Muslim ketika mensyarahkan hadis ini dengan menyebut: “Hadis ini menjadi dalil bagi ulama yang berpendapat tidak disembahyangkan jenazah orang yang membunuh diri disebabkan maksiat yang dia lakukan, inilah mazhab ‘Umar ibn ‘Abdul ‘Aziz dan al-Auza’ie.

Sementara al-Hasan, al-Nakha’ie, Qatadah, Malik, Abu Hanifah, al-Syafi’ie dan kebanyakan ulama berpendapat: Disembahyangkan ke atas jenazah orang yang membunuh diri. (Jumhur). Kebanyakan ulama menjawab berkenaan hadis ini, baginda tidak menyembahyangkannya sebagai melarang manusia dari melakukan perbuatan yang sama (membunuh diri), namun jenazah itu disembahyangkan oleh sahabat...”

Statistik menunjukkan Korea Selatan dan Jepun menduduki tangga teratas senarai kes membunuh diri.

Di negara ini pun ada juga orang Islam yang membunuh diri tetapi tidaklah sebanyak di dua negara terbabit.

Terdapat pelbagai sebab yang menjadi punca membunuh diri. Antaranya putus cinta, tekanan hidup dan masalah kewangan.

Kebiasaannya yang kita dengar, cara nak bunuh diri adalah dengan cara terjun dari bangunan tinggi, kelar pergelangan tangan, makan pil berlebihan dos dan duduk di landasan kereta api. Sebagai seorang Muslim sejati, nescaya kita tidak membunuh diri. Maksud saya, bukannya kita takut hendak bunuh diri, tetapi sebenarnya tidak pernah terlintas di hati untuk membunuh diri.

Ada yang bunuh diri kerana cinta. Putus cinta bukanlah masalah terlalu besar sampai nak bunuh diri.

Sebabnya, cinta kepada Allah adalah yang paling utama bukannya cinta kepada manusia. Jika putus cinta sekalipun, mukmin sejati pasti perlu reda dengan ujian Allah itu dan menerima hakikat bahawa jodoh di tangan Tuhan.

Orang yang bunuh diri sebab putus cinta adalah kerana dia merasa tidak boleh hidup tanpa pasangannya lagi kerana pasangannya adalah segala-galanya.

Kalau dia segalanya, bila putus cinta kenapa diri dan kehidupan terpaksa ditamatkan dan dihapuskan?

Cinta manusia sememangnya tidak kekal. Itu semua gara-gara cinta yang tidak ‘bermuarakan’ cinta Allah.

Seterusnya, orang selalu bunuh diri sebab tekanan hidup. Kononnya sudah tidak mampu hendak tanggung tekanan yang dihadapi.

Di dunia semua orang ada ujian masing-masing. Lihat Rasulullah, betapa banyak tekanan dan ujian yang baginda hadapi.

Cuba bayangkan kita gantikan tempat baginda, pasti tidak mampu. Kita kena ingat, yang beri tekanan dan ujian itu adalah Allah, maka kita kenalah kembali kepada pemiliknya iaitu Allah.

Berdoalah semoga Allah ringankan ujian kita bukannya dengan membunuh diri. Itulah kelebihan mukmin sejati, ada tempat hendak nak bergantung dan mengadu.

Firman Allah: Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan)

yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir”(Surah Al-Baqarah ayat 286).

Begitu juga dengan masalah kewangan. Mukmin sejati hidupnya tidak bergantung pada duit semata-mata.

Jadi, kalau tak ada duit, mereka takkan membunuh diri. Sebab apa, duit Allah yang beri. Allah juga yang menghalang kita daripada mendapat duit.

Itulah namanya rezeki masing-masing. Duit bukan segala-galanya dalam hidup kita. Lihatlah contoh sahabat dulu.

Abdul Rahman bin Auf sanggup serahkan semua hartanya ke jalan Allah. Beliau tidak risau pun semua hartanya habis digunakan.

Siapa yang sanggup bunuh diri, maksudnya dia bertuhankan duit. Kita bertuhankan Allah dan Allah itu kekal abadi.

Semua orang mengalami tekanan cuma kita kena pandai menanganinya. Jangan ambil jalan pintas dengan membunuh diri.

Hargai nyawa yang Allah pinjamkan untuk seketika dengan amal ibadah. Jika menghadapi tekanan sekali pun perbanyakkanlah istighfar kerana setiap dugaan yang kita terima sesuai dengan keupayaan kita.



original post sini

Comments

Popular posts from this blog

Bittaufiq Wannajah - Doa untuk menghadapi peperiksaan.

Doa Rabitah (Peneguh Tautan Hati)

Amalan Harian : Al Manzil, Ayat 5, Ayat 7, Ayat 15 - Benteng pertahanan diri