SIRI KE 3 : TAWAF

Siri 1, Siri 2 

Tawaf menurut syara’ adalah mengelilingi Kaabah sebanyak 7 pusingan bermula di sudut Hajar al-Aswad dan berakhir pada sudut yang sama menurut syarat-syaratnya. Tawaf adalah rukun Umrah, maka tidak sempurna tawaf akan menyebabkan Umrah atau Haji seseorang itu tidak sempurna atau tidak sah.

Syarat-syarat wajib Tawaf :-

1. Suci dari hadas (berwudhu’).

2. Suci badan/pakaian/tempat tawaf daripada najis.

3. Menutup aurat.

4. Bermula dan berakhir pada sudut Al-Hajar Aswad berniat tawaf jika tawaf Qudum/Wada’/Sunat/Nazar

5. Menjadikan Baitullah di sebelah kiri dan berjalan ke hadapan

6. Berjalan bertujuan Tawaf, bukan bertujuan lain.

7. Cukup 7 pusingan dengan yakin dilakukan dalam Masjidil Haram dan di luar binaan Kaabah hijr Ismail/Syazawan



Perlu diberi perhatian bahawa zikir-zikir atau bacaan-bacaan yang dibaca menurut pusingan tawaf bukanlah wajib, dan ia merupakan bacaan cadangan yang anjurkan untuk dibaca ketika tawaf agar tawaf tersebut tidak disia-siakan dengan mengingati dengan sesuatu yang tidak berfaedah dan juga dapat membantu mengira pusingan tawaf. Bacaan-bacaan dan do’a-do’a yang berbeza-beza menurut bilangan tawaf tidak pernah diajar oleh Nabi :saw, dan kita dibolehkan membaca apa sahaja zikir yang mudah diingati.

Bacaan yang thabit (didatangkan) dari Nabi :saw adalah diantara Rukun Yamani dan Hajar al-Aswad, iaitu :

ربنا آتنا في الدنيا حسنة وفي الآخرة حسنة وقنا عذاب النار
Transliterasi : “Rabbanaa aatina fi’l-dunya hasanah wa fi’l-aakhirah hasanah wa qinna ‘adhaab al-Naar”
“Ya Allah berilah kami kebaikkan di dunia dan kebaikkan di akhirat, maka lindungi kami dari azab neraka” [Hadith Riwayat Abu Daud].


Sunat-sunat tawaf pula adalah :-

1. Berjalan kaki bagi mereka yang tidak uzur

2. Berittiba’ bagi tawaf yang diiringi dengan sa’ie (lelaki). Berittiba’ ialah mendedahkan bahu kanan dan meletakkan hujung ihram di ketiak kanan, dan bahu tangan kiri hendaklah di tutup.

3. Melakukan Ramal (berlari-lari anak) pada tiga pusingan pertama bagi tawaf yang diiringi dengan sa’ie (lelaki). Jangan berlari atau melompat.

4. Istilam Hajar al-Aswad dan mengucupnya/ isyarat tapak tangan / Istilam Rukun Yamani dan tidak mengucup hukum tersebut.

5. Membaca zikir, doa dan membaca al-Quran.

6. Berturut-turut 7 kali berpusing.

7. Tawaf dengan khusyuk dan tawaduk.

8. Melakukan solat sunat Tawaf selepas selesai tawaf di belakang Makam Ibrahim.

Tawaf yang terhenti / separuh jalan disebabkan oleh batalnya wudhu’ atau telah masuk waktu menunaikan solat, boleh diteruskan dengan bilangan pusingan yang berbaki, dimulakan dari sudut Hajar al-Aswad.


Beberapa kesilapan yang dilakukan ketika melakukan Tawaf.

1. Was-was mengenai bilangan pusingan Tawaf.

Was Was didalam bilangan tawaf merupakan perkara biasa berlaku kepada jemaah Umrah / Haji. Terdapat dua situasi seseorang jemaah itu berada didalam keadaan was-was :

a. Situasi pertama adalah seseorang yang masih melakukan tawaf dan tidak pasti berapa pusingan yang telah dilakukan. Didalam kes ini, menurut Ibn Qudamah rh.(Kitab al-Mughni, 3/187) , hendaklah dia berdasarkan mana yang dia pasti, sebagaimana keadaan lupa bilangan rakaat didalam solat. Misalnya, antara pusingan ke 4 atau ke 5, maka hendaklah dia memilih yang rendah, iaitu 4.

b. Situasi kedua pula terjadi pada seseorang yang telah selesai menunaikan Umrah, akan tetapi tiba-tiba timbul was-was bahawa kemungkinan pusingan tawafnya tidak mencukupi. Dalam keadaan ini Kitab Mawsu’ah al-Fiqhiyah (29/125) ada menyebut : Jika seseorang itu tidak pasti mengenai pusingan tawaf selepas selesai menunaikan tawaf, hendaklah dia tidak memberi tumpuan (ignore) kepada perasaan tersebut. Pandangan ini dipegang oleh jumhur ulama’, termasuk sebahagian Mazhab Maliki. Tawafnya sah tanpa melayan was-was tersebut.


2. Melakukan jalan pintas melalui Hijr (Ismail) ketika melakukan Tawaf

Adalah tidak sah tawaf bagi mereka yang semasa tawafnya memintas Hijir, kerana Hijir dianggap sebahagian dari Ka’bah. Kewajipan tawaf adalah mengelilingi Ka’bah termasuklah Hijr dan bukan melalui Hijir. Firman Allah swt :-

وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ
“dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu” [surah al-Hajj : 29]

Disebabkan tawaf adalah mengelilingi Ka’bah dan bukan bertawaf dalam Ka’bah, maka mereka yang bertawaf memintas Hijir Ismail tidak sah tawafnya kerana dianggap bertawaf didalam Ka’bah. Didalam sebuah hadith sahih yang menjelaskan kedudukan Ka’bah atau BaitullAllah :

سألت النبي صلى الله عليه وسلم عن الجَدْر أمن البيت هو ؟ قال نعم . قلت : فما بالهم لم يدخلوه في البيت ؟ قال إن قومك قصرت بهم النفقة
A’isyah ra. berkata : “Saya bertanya Nabi :saw mengenai Hijir, apakah ia sebahagian BaitulAllah? Baginda bersabda : YA, (Ia termasuk BailtulAllah). Saya bertanya lagi : Kenapa ia tidak di satukan didalam BaitulAllah? Baginda bersabda : Kaum kamu tidak kecukupan duit”. [Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim].


Kenapa ia dipanggil Hijr “Ismail”?

Hakikatnya, Hijr ini tidak ada kena mengena langsung dengan Nabi Ismail as. Nabi Ismail as. tidak membina Hijr ini. Ia sebenarnya berlaku semasa Kaum Quraish membina kembali Ka’bah dan keputusan duit untuk meneruskan apa yang telah diasaskan oleh Nabi Ibrahim as. dan mereka memanggilnya Hateem atau Hijr dan bukan Hijr Ismai, sebagaimana petikan akhir Hadith diatas :-

. قلت : فما بالهم لم يدخلوه في البيت ؟ قال إن قومك قصرت بهم النفقة
Saya (A’isyah ra.) bertanya lagi : Kenapa ia tidak di satukan didalam BaitullAllah? Baginda bersabda : Kaum kamu tidak kecukupan duit”. [Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim].


3. Mencium Hajar Aswad bukan semasa melakukan Tawaf

Ramai yang menyangka bahawa mencium Hajar al-Aswad itu sunat yang berasingan dari amalan tawaf. Ini merupakan sangkaan yang silap menurut pendapat beberapa pendapat ulama’. Mencium Hajar al-Aswad itu sunat semasa seseorang itu melakukan Tawaf dan ia bukan sunat yang berasingan. Menurut Shiekh Utsaimin rh. (bekas Mufti Arab Saudi, wafat 2001):-

وتقبيل الحجر سنة وليست سنة مستقلة أيضًا ، بل هي سنة للطائف
“Mencium al-Hajar (Aswad) adalah sunat dan bukan satu sunat yang berasingan juga, bahkan ia adalah sunat ketika melakukan tawaf” [Kitab Daleel al-Akhta’ allati yaqa’ fiha al-Haaj wa al-Mu’tamir].

Kaedah fiqh ada menyebut :

الخروج من الخلاف مستحب
“Keluar dari khilaf [perselisihan] itu adalah digalakkan”

Jika seseorang yang tidak dapat mengucup Hajar al-Aswad semasa tawaf, dan gagal juga membuat demikian setelah selesainya ibadat Umrah akibat terlalu ramai manusia disana, maka usahlah merasa dukacita. Dengan mengambil sikap berhati-hati, kita gunakan kaedah “keluar dari khilaf itu adalah digalakkan”. Dengan erti kata lain, kita keluar dari pandangan yang mengatakan sunat mencium Hajar al-Aswad pada bila-bila masa kepada amalan mencium Hajar al-Aswad hanya disunatkan ketika tawaf sahaja. Bagi yang berpegang kepada pendapat mencium Hajar al-Aswad diluar tawaf sunat, maka hukumnya sunat jika ia tidak mendatangkan kemudharatan dan bahaya, dan ia boleh membawa kepada makruh atau haram didalam situasi yang memudharatkan.

Wallahu’alam

Surau Ibn Qurra'(Heitech Padu Berhad)  dan Al-Ahkam.net  (www.al-ahkam.net/home)





==================
Rujukan :

1. دليل الأخطاء التي يقع فيها الحاج والمعتمر
Kementerian Haji dan Wakaf Arab Saudi, 2000.

2. فتاوى اللجنة الدائمةFatwa Jawatan kuasa tetap Arab Saudi – Jilid 11.

3. Panduan Haji. Tabung Haji

4. أخطاء في الطواف – Kesalahan-kesalahan didalam Tawaf
http://www.islamweb.net/ahajj/index.php?page=article&lang=A&id=136292

Comments

Popular posts from this blog

Bittaufiq Wannajah - Doa untuk menghadapi peperiksaan.

Doa Rabitah (Peneguh Tautan Hati)

Amalan Harian : Al Manzil, Ayat 5, Ayat 7, Ayat 15 - Benteng pertahanan diri