Maulidur Rasul 14.1.2014M / 1435H : Teladani peribadi Rasulullah

Zahirkan kecintaan dengan mengambil sirah, sunnah sebagai panduan


Perutusan Rasulullah SAW sebagai menyambung tradisi perjuangan Nabi dan Rasul terdahulu menegakkan kalimah Allah SWT seterusnya mengakhiri salasilah kerasulan yang memikul amanah menyampaikan risalah Islam kepada sekalian alam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: 
“Tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk mendatangkan kerahmatan kepada seluruh alam.” (Surah al-Anbia, ayat 107)


Islam yang diutuskan Allah SWT melalui Rasulullah SAW sudah menyediakan jalan terbaik ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan hidup. Islam sarat dengan hukum hakam dan ajaran suci yang mampu menjamin manusia menyelesaikan segala masalah yang melanda serta menjadi penawar semua penyakit kehidupan 

Rasulullah SAW juga dikurniakan kitab suci al-Quran sebagai sumber rujukan dan pedoman berkekalan buat umat manusia menelusuri titian hidup penuh cabaran.

Justeru, sambutan Maulidur Rasul penting dengan harapan untuk menebalkan kecintaan kepada Baginda SAW. Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah insan paling dicintai memandangkan Baginda insan contoh atau manusia mithali dalam serba serbinya.

Umat Islam diperintahkan Allah SWT supaya meneladani dan mencontohi kehidupan Rasulullah SAW selaras dengan firman-Nya yang bermaksud: 
“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan Allah) dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Zahir kecintaan terhadap Rasulullah


Menyatakan kecintaan kepada Rasulullah SAW, ia tidak cukup sekadar dizahirkan melalui kata-kata pujian dan sambutan, tetapi akan menjadi lebih bermakna jika dizahirkan dengan meneladani sirah Baginda sebagai pemimpin, panglima angkatan perang, sahabat, suami, bapa dan manusia biasa.

Pendek kata, Rasulullah SAW memiliki banyak dimensi dan sudut patut dicontohi umat Islam sejagat. Disebabkan itu, sirah serta sunnah Baginda tetap relevan kepada umat Islam dari dulu, kini dan selamanya.

Kehidupan Rasulullah SAW menyediakan jawapan ampuh yang berupaya memecahkan segala persoalan dan masalah dihadapi manusia moden dewasa ini kerana ia sebenarnya manifestasi menyeluruh dari inti pati al-Quran.

Saidatina Aisyah apabila ditanya mengenai akhlak Baginda SAW menjawab: “Sesungguhnya akhlak Rasulullah SAW adalah akhlak al-Quran.” (Riwayat Muslim) 

Dunia kini sedang menyaksikan ramai umat manusia semakin tersasar daripada landasan yang lurus. Natijahnya, ramai manusia tertipu dengan godaan dunia yang mempesona, indeks keruntuhan akhlak semakin merudum dan kesejahteraan hidup mulai pupus.

Dalam erti kata lain, hidup ini seolah-olah ketiadaan bimbingan dan panduan, dada umat manusia pula dipenuhi penyakit jiwa serta hilangnya petunjuk serta rahmat dalam kehidupan. 

Sebenarnya konsep untuk manusia hidup bahagia itu ada, namun ia ditinggalkan. Begitu juga jalan menuju kesejahteraan hidup sudah jelas termaktub dalam kitab suci al-Quran, tetapi diingkari.

Islam yang diutuskan Allah SWT melalui Rasulullah SAW sudah menyediakan jalan terbaik ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan hidup. Islam sarat dengan hukum hakam dan ajaran suci yang mampu menjamin manusia menyelesaikan segala masalah yang melanda serta menjadi penawar semua penyakit kehidupan. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit batin yang ada dalam dada kamu dan menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang beriman.” (Surah Yunus, ayat 57) 

Al-Quran penyuluh hidup

Al-Quran juga adalah hidayah petunjuk ke jalan diredai Allah yang memimpin manusia mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Al-Quran secara khusus menjadi sinaran rahmat yang menyuluhi setiap detik kehidupan orang yang beriman.

Ini adalah seruan suci Allah SWT kepada umat manusia supaya mereka dapat hidup bahagia di dunia dan akhirat dengan syarat berpegang teguh dengan ajaran dan hukum hakam yang telah ditetapkan-Nya. 

Risalah Islam diturunkan sebagai satu cara hidup yang lengkap dan menyeluruh buat mengatur kehidupan manusia sejagat ke arah kebahagiaan abadi di bawah keredaan Ilahi. Ini bermakna jalan keluar sudah sedia ada, penawar di depan mata, maka terserahlah kepada umat manusia memilih sama ada hendak hidup berbahagia atau sebaliknya.

Akhirnya, umat Islam wajib bermuhasabah dan merenungi diri nasib mereka yang sudah sekian lama tercalar. Maka, inilah masanya untuk kembali kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, mudah-mudahan dapat memartabatkan kembali imej sebagai umat terbaik dan umat contoh.

Setiap Muslim seharusnya bersama mencontohi kehidupan Rasulullah SAW dalam setiap aspek supaya keadilan Islam dapat menghiasi kembali kemakmuran bumi Allah SWT dan Islam menerajui kepimpinan manusia ke arah keharmonian, kesaksamaan dan kesejahteraan.

Comments

Popular posts from this blog

Bittaufiq Wannajah - Doa untuk menghadapi peperiksaan.

Doa Rabitah (Peneguh Tautan Hati)

Amalan Harian : Al Manzil, Ayat 5, Ayat 7, Ayat 15 - Benteng pertahanan diri